Alaioli
Mayat bunuh dibungkus dalam kanvas di Pulau Angsa

By Ilamparithi

KUALA SELANGOR - Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam keadaan tragis apabila dibungkus kanvas dan diikat dengan tali terdampar di tebing batu Pulau Angsa di sini, 18 April lalu.

Penemuan mayat yang sudah reput itu disedari kira-kira pukul 4.50 petang selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang berada di lokasi tersebut tentang penemuan bungkusan mayat itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian itu dikesan apabila sekumpulan individu yang sedang memancing terhidu bau busuk sebelum menemui satu bungkusan berikat tali di kawasan tebing batu tersebut.

Katanya, pemeriksaan forensik mengesahkan bungkusan tersebut adalah satu mayat sudah mereput dipercayai kira-kira seminggu yang kemudian dibawa ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat dijalankan pukul 9 pagi tadi mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat dijerut leher.

“Setakat ini, identiti mangsa belum dapat dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Tambah beliau, polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta agar tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Khairol Hiysham Shamsuddin di talian 03-3289 1222 untuk membantu siasatan kes tersebut.- Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News