Alaioli
Provokasi berpotensi menjejaskan keharmonian serta menimbulkan api perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum : EXCO Kerajaan Negeri Selangor Papparaidu Veraman

Shah Alam Mac 10- Saya memandang serius kelakuan seorang individu yang menggunakan akaun Facebook bernama Tamim Dahri yang berkongsi kandungan memaparkan perlakuan tidak menghormati agama, termasuk yang melibatkan kitab suci atau simbol keagamaan. Perkara seperti ini tidak wajar ditayangkan dan boleh dijadikan bahan provokasi kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian serta menimbulkan api perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


Sehubungan itu, saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap beliau serta mana-mana pihak yang terlibat dalam perlakuan atau penciptaan kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum.


Untuk penjelasan, istilah Trisulam atau Trishul merupakan simbol keagamaan dalam agama Hindu yang berbentuk lembing bercabang tiga. Ia mempunyai makna spiritual dan sering dikaitkan dengan Dewa Shiva, yang melambangkan kuasa, keseimbangan serta perlindungan. Justeru, mempermainkan atau menunjukkan perlakuan tidak menghormati simbol tersebut boleh menyinggung perasaan penganut agama berkenaan.


Malaysia dibina atas asas saling menghormati antara agama dan budaya. Oleh itu, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan di media sosial agar tidak menimbulkan salah faham atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.


Saya berharap isu ini dapat ditangani dengan segera dan sewajarnya demi memastikan keharmonian serta perpaduan rakyat sentiasa terpelihara.


Papparaidu Veraman


Leave a Comment
Trending News