Alaioli
53 Pelajar Terima Bantuan Pendidikan LWHPP Fasa Pertama 2026

Oleh Maahgeshan 

Pulau Pinang, 7 Mac – Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) hari ini menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM49,900 kepada 53 orang pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi bagi sesi pertama tahun 2026.

 

Inisiatif tersebut melibatkan pemberian bantuan secara sekali bayar (one-off) kepada pelajar-pelajar di peringkat sijil, diploma, dan sarjana muda. Program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak di peringkat menara gading.

 

Selain tumpuan kepada golongan pelajar, LWHPP turut menzahirkan keprihatinan sosial dengan menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM1,000 kepada seorang ibu tunggal. Beliau yang mempunyai lapan orang anak yang masih bersekolah kehilangan suami baru-baru ini, dan sumbangan tersebut diharap dapat membantu kelangsungan pengurusan keperluan harian keluarganya.

 

Majlis penyampaian bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor merangkap Timbalan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, YB Ramkarpal Singh.

 

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi LWHPP, YB RSN Rayer (Ahli Parlimen Jelutong), Timbalan Pengerusi LWHPP, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam, serta barisan Ahli Pesuruhjaya LWHPP yang terdiri daripada Dato’ Ashok, Dato’ Joshi, Encik Kumaran, dan Encik Dinesh Gurukal.

 

Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan LWHPP dalam memperkasa agenda pendidikan dan kebajikan masyarakat di negeri ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

Post Image

Leave a Comment
Trending News